SHAH ALAM – Malaysia boleh mengikut langkah Iran dan China yang menyekat
akses ke laman web sosial sekiranya langkah itu mampu membendung
sebarang perbuatan atau tindakan yang boleh menggugat keamanan negara.
Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps), Hamidzun
Khairuddin berkata, tindakan itu perlu difikirkan kerana ada pengguna
yang menggunakan laman sosial itu untuk menyebarkan fitnah, menghina
agama dan kaum serta mencaci-maki pemimpin negara.
Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)
juga perlu membangunkan membangunkan mekanisme bagi menyekat bahan-bahan
yang boleh menimbulkan kemarahan atau menghina di laman sosial itu dan
juga blog.
“Memang tidak wajar menyekat penggunaan internet tetapi Facebook perlu
disekat sebelum parah kerana ramai yang telah menyalahgunakan fungsi
laman sosial itu dengan melakukan perkara-perkara yang di luar faedah,”
katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Sekumpulan
pengguna Facebook bertindak biadab terhadap ucapan Yang di-Pertuan
Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menerusi laman sosial itu.
Mereka dipercayai menulis kata-kata itu di laman sosial berkenaan
sewaktu Yang di-Pertuan Agong menyampaikan titah ucapan sempena ulang
tahun keputeraan rasmi Seri Paduka yang disiarkan secara langsung di
Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Pada masa yang sama kata Hamidzun, beliau berharap Kementerian Dalam
Negeri (KDN) bertindak tegas dengan menghukum mereka di bawah Akta
Hasutan agar ancaman sebegitu tidak berleluasa dan menghancurkan
keamanan dikecapi negara kini.
“Kalau boleh perketatkan lagi undang-undang siber yang sedia ada supaya
tidak sewenang-wenangnya mereka melakukan jenayah di laman sosial.
Tindakan tegas perlu dikenakan supaya mereka bersalah dapat dihadapkan
ke mahkamah,” katanya.
Pengerusi Majlis Belia Selangor (MBS) Petaling, Badrul Hisham Badrudin
turut menyokong sekiranya kerajaan bertindak awal menyekat penggunaan
Facebook yang kini telah disalahguna untuk tujuan negatif seperti mana
laman web lucah.
"Laman sosial sepatutnya diguanakan secara berhemah, bukan tempat untuk
mencaci, menghasut dan menipu. Facebook ini jika tidak disekat akan
membawa lebih banyak mudarat. Saya rasa tidak ada ibu bapa atau
cendekiawan yang membantah sekiranya kerajaan menyekat laman sosial
ini," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya turut
berharap KDN di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak
bertolak-ansur dengan golongan yang dianggap ‘pelampau’ yang sanggup
menghina pemimpin negara dalam laman sosial.
“Bila bagi amaran mereka umpama tak peduli maka sudah tiba masanya KDN
kenakan tindakan keras supaya semua pihak dapat menghormati
Perlembagaan. Tindakan tegas perlu diambil supaya keamanan negara dapat
terpelihara daripada ancaman anasir-anasir seperti ini,” katanya.
sumber : Sianr Harian
No comments:
Post a Comment