Tuesday, 4 June 2013

Pecah rumah semakin menjadi-jadi di Kepong

 




KUALA LUMPUR 3 Jun - Penduduk Kepong dilanda kebimbangan berikutan kegiatan jenayah yang semakin menjadi-jadi di kawasan itu.
Secara purata, penduduk mendakwa sebanyak enam kejadian pecah rumah berlaku di kawasan itu setiap hari.
Ketua Pusat Perkhidmatan Komuniti Kepong, Yee Poh Ping berkata, kejadian ragut turut meningkat sehingga menakutkan penduduk.
"Kes pecah rumah dan ragut adalah yang paling banyak berlaku di sini. Biarpun anggota polis membuat rondaan setiap hari namun jumlah kejadian ini semakin tinggi.
"Ini kerana penjenayah semakin bijak, mereka pecah masuk pada waktu siang menyebabkan jiran tetangga tidak sedar bahawa rumah dipecah masuk," katanya dalam sidang akhbar mengenai kes pecah rumah yang berlaku di sebuah rumah di Jalan Api-api Kiri 1, Kepong di sini.
Sementara itu, mangsa pecah rumah, Lue Gim Gee, 43, berkata, kejadian itu berlaku pada Khamis lalu.
"Ketika itu saya dan suami ke pejabat kami yang terletak tidak jauh dari rumah. Kira-kira pukul 4 petang apabila pulang ke rumah kami mendapati pintu pagar terbuka dan rumah berselerak.
"Setelah pasti bahawa rumah dipecah masuk, kami bergegas ke balai polis Kepong untuk membuat laporan," ujarnya.
Suaminya, Lee Kon Thai, 50 berkata, kerugian yang dialami bernilai kira-kira RM25 ribu.
"Antara barangan yang dicuri ialah televisyen, telefon bimbit, komputer, radio, wang tunai dan kad kredit.
"Malah, habis semua dokumen penting seperti pasport, sijil kelahiran dan sijil simpanan premium diambil oleh mereka," katanya.
Dalam pada itu, wakil Balai Polis Sentul yang turut menghadiri sidang akhbar itu menyeru penduduk yang pernah menjadi mangsa agar tampil membuat laporan kepada polis dan jangan hanya berdiam diri.
"Jika mangsa tidak membuat laporan, pihak polis sukar untuk menjejaki penjenayah kerana mereka sangat licik menjalankan aktiviti mereka pada waktu siang.
"Orang ramai juga diingatkan agar mengunci pintu pagar serta rumah mereka menggunakan kunci yang berkualiti tinggi bagi mengelakkan rumah dimasuki pencuri," katanya.

No comments:

Post a Comment