Tuesday, 4 June 2013

Harga ayam naik RM2 sekilogram

Gambar Hiasan




MUAR 4 Jun - Kenaikan harga ayam sebanyak RM2 sejak cuti sekolah bermula bukan sahaja meresahkan peniaga-peniaga di Pasar Awam Maharani di bandar ini, tetapi penjual daging ayam siap diproses di kawasan kampung.
Menurut mereka, kenaikan harga ayam daripada RM6 sekilogram kepada RM8 sekilogram mula menimbulkan kebimbangan peniaga-peniaga ayam di kampung kerana keadaan tersebut boleh menjejaskan perniagaan mereka.
Peniaga, Rosnah Hassan berkata, harga itu mula meningkat beberapa hari sebelum cuti persekolahan bermula kerana permintaan meningkat mendadak.
"Terdapat peniaga pasar di bandar ini menjual ayam proses bersih dengan harga RM8.20 sekilogram, bahkan ada yang mengekalkan harga tersebut RM8 sekilogram.
"Peniaga terpaksa menaikkan harga itu apabila pembekal menaikkan harga kepada RM8 sekilogram. Kita bayar RM4.30 kepada pembekal sebelum cuti sekolah bermula dan meningkat kepada RM5.50 sekilogram beberapa hari lalu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, lebih merisaukan pembekal juga ada memaklumkan harga barangan berkenaan dijangka meningkat sebanyak RM0.20 sen dalam masa beberapa hari lagi.
Rosnah mendakwa, sebab utama kenaikan harga yang lebih tinggi ketika ini kerana banyak majlis perkahwinan diadakan sempena musim cuti persekolahan.
Seorang lagi peniaga, Amran Ahmad menggesa pihak bertanggungjawab tidak lepas tangan dan memantau perkembangan harga tersebut kerana dikhuatiri pembekal akan terus menaikkan harga sesuka hati.
"Kita harap pihak berkenaan buat sesuatu. Peniaga ayam di kampung-kampung adalah orang Melayu dan kita tidak mahu seolah-olah ditindas pembekal ayam," katanya.
Sementara itu, Ketua Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Cawangan Muar, Mohd. Basha Abidin Ali berkata, peniaga tidak melanggar mana-mana peraturan kerana ayam bukan merupakan barangan kawalan pada masa sekarang.
Beliau memberitahu, jabatan berkenaan mempunyai kuasa mengawal kenaikan harga ayam hanya pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina.
Jelas Mohd. Basha, jabatannya mempunyai pasukan pemantau bagi setiap pasar dalam bandar dan kedai-kedai di luar bandar yang mendapati hampir semua peniaga menjual ayam proses bersih sekitar harga RM8 sekilogram.
"Harga ayam proses bersih sebelum ini antara RM7.50 hingga RM7.80 tetapi meningkat RM0.20 sen kelmarin. Terdapat juga kedai-kedai di luar bandar yang masih menjual ayam proses bersih pada harga RM7.50 sekilogram," katanya.

No comments:

Post a Comment