![]() |
Gambar Hiasan |
SEREMBAN 2 Jun - Sikap keras kepala segelintir pengguna tidak menghiraukan undang-undang jalan raya mengundang padah apabila 25 buah motosikal dan 28 kereta disita anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini malam tadi.
Pengarah JPJ negeri, Saiful Azzri Hamzah memberitahu, operasi yang dilancarkan pada pukul 5 petang dan berakhir 10 malam itu menyasarkan penunggang motosikal dan pemandu yang melanggar peraturan lalu lintas.
"Sepanjang operasi ini JPJ mengeluarkan sebanyak 204 saman dan 60 notis arah periksa kepada pemandu atas pelbagai kesalahan.
"Berdasarkan pemeriksaan yang kita jalankan, kebanyakan kesalahan yang dilakukan adalah tidak memiliki lesen memandu, tiada cukai jalan dan tiada pelindungan insurans.
"Operasi ini dibuat berikutan aduan orang ramai mengenai tindakan pemandu dan penunggang motosikal yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya khususnya di bandar ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengetuai operasi tersebut.
Saiful Azzri memberitahu, operasi itu melibatkan 75 anggota penguat kuasa JPJ selain dibantu 10 anggota dan pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Dalam operasi yang dijalankan itu juga, pihak AADK kata Saiful, menahan tiga lelaki berusia antara 20 dan 40 tahun kerana positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.
Seperti biasa, operasi berkenaan turut menyaksikan beberapa penunggang motosikal yang bertindak menunggang melawan arus untuk meloloskan diri daripada ditahan pihak berkuasa.
Namun, usaha mereka sia-sia apabila ditahan di lokasi berdekatan.
JPJ akan terus menjalankan operasi berkala bagi memastikan pengguna kenderaan mematuhi undang-undang jalan raya dan dalam masa sama, mengurangkan risiko kemalangan, kata beliau.
No comments:
Post a Comment